Tuesday, December 30, 2008

Bersama Menghayati Semangat Hijrah Nabi




Awal Muharam adalah perayaan bagi umat Islam apabila masuknya tahun baru kalendar Hijrah. Di sebalik sambutan tersebut, ianya mengandungi satu peristiwa yang besar dalam sejarah Islam dan seterusnya merubah seluruh sistem peradaban dunia sehingga hari ini. Hijrah bermula ketika zaman Nabi Muhammad saw, apabila beliau diancam bunuh oleh kafir Quraish. Apabila mendapat arahan daripada Allah supaya beliau berhijrah ke Masinah bersama Abu Bakar,beliau menggantikan pemuda berani, Ali untuk menggantikan tempat tidur beliau. Pembunuh kafir Quraish telah terpedaya dengan taktik Nabi.

Dalam perjalanan, baginda ditemani oleh sahabat karib baginda, Abu Bakar. Sepanjang perjalanan, Abu Bakar yang menjadi pendengar setia, perawat duka nestapa, pembela dan pelindung Nabi.Sehinggalah ketika orang kafir berjaya menjejaki baginda dan Ab Bakar dalam satu gua, akhirnya mereka berjaya dilindungi Allah dengan mengaburi mata kafir Quraish. Akhirnya setelah menemui pelbagai ranau berduri sepanjang perjalanan hijrah ke Madinah, akhirnya baginda dan Abu Bakar disambut dengan suasana meriah dan syukur,kerana Nabi yang mulia ini selamat sampai ke tanah Yathrib yang akhirnya ditukar ke Madinah.

Ketibaan Nabi disambut dengan linangan air mata kesyukuran dan ketakjuban oleh penduduk Madinah, sehingga ramai orang berebut- rebut untuk menjadikan baginda tetamu kehormat bagi rumah mereka. Akhirnya, sahabat Ayub Al- Ansari berjaya mencuri perhatian dengan menjadi tuan rumah kepada Nabi yang mulia ini. Ayub merupakan sahabat yang berusaha menakluk Istanbul, akan tetapi tidak berjaya dan makamnya berada di Kota Istanbul hari ini.

Episod perjalanan Nabi dari Mekah ke Madinah ini merupakan catatan bersejarah peradaban dunia hari ini. Perjalanan beliau bukanlah perjalanan biasa, malah bukan juga perjalanan yang melarikan diri dari ancaman kafir di Mekah semata. Akan tetapi misi hijrah beliau ialah misi Ilahi yang membawa risalah kebenaran yang akhirnya menjadikan agama Islam terus berkembang,dan Islam menjadi peradaban manusia yang berjaya.

Dalam konteks kehidupan kita, hijrah bukan semata hijrah tempat atau lokasi, akan tetapi juga membawa maksud hijrah sikap. Hijrah sikap merupakan keutamaan kita hari ini yang perlu difahami dengan mendalam. Ini kerana, pelbagai masalah, isu, ancaman, ujian melibatkan sikap kita. Mengapa ramai manusia hari ini cenderung untuk melakukan kejahatan? Mengapa juga semakin banyak manusia yang dilahirkan bijak pandai tetapi menipu? Mengapa peperangan sering berlaku? Kefasadan sering berlaku? Ini semua kerana sikap manusia yang rakus dan jahil itu.

Perubahan sikap merupakan satu keperluan mendesak bagi kita hari ini. Dalam satu hadis Nabi pun diungkapkan bahawa beliau diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Tuntutan ini menjadi syarat utama jika mahu menjadikan kejayaan sesebuah peradaban dan kaum, dan paling kurang pun menjadikan kita seorang individu yang berjaya, iaitu terkandung dalam surah Ar’- Ra’d: 11 yang berbunyi,” Allah tidak akan mengubah setiap kaum itu jika mereka berubah diri mereka sendiri”.

Sebagai bangsa yang mula mencari arah, bangsa yang sering dicemuh kerana pelupa, lesu, malas, tidak pandai berbisnes, lembap dan sebagainya, seharusnya awal Muharam ini menjadi titik tolak untuk merubah sikap. Kejayaan sesebuah bangsa mahupun tamadun itu bukanlah berpunca daripada kepandaian mereka, akan tetapi sikap mereka yang sentiasa ingin berusaha dan mengejar kejayaan.

Maka hari ini, kita perlu mengorak menghayati semangat hijrah Nabi, memulakan sikap yang baru dan seterusnya berazam untuk menjadi manusia terpilh dan berjaya.Salam Awal Muharam.

Fadhilat Bulan Muharram


Muharram 1430 hijrah kini kian hampir datang menemui kita samada kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangannya atau pun kita masih hanyut dibuai mimpi indah tanpa menghirau tentang perjalanan masa yang begitu pantas berlalu. Rasanya baru sahaja kita bersama tahun 1429 hijrah dan kini ia sudah menggamit pergi meninggalkan kita bersama kenangan dan nostalgia indah dan duka yang tercatat dalam diari perjalanan hidup kita.
Muharram mengingatkan kita kepada hijrah Rasullullah S.A.W dari kota Mekah ke kota Madinah dalam mencari kuasa ke arah merubah tamadun dan peradaban dunia yang dinodai oleh kesyirikan dan najis kesesatan kerana kuasa pemerintahan pada masa itu berada dalam genggaman tangan mereka yang tidak layak untuk menjalankan amanah Allah. Kini hijrah sebagaimana Rasulullah S.A.W itu tidak akan berlaku lagi tetapi penghijrahan dari alam kesesatan sekular atau najis perundangan ciptaan manusia akan terus berlaku sehingga tertegaknya kembali khilafah Islam yang telah lama diruntuhkan.
Dunia akan kembali ceria dan aman apabila Islam berjaya kembali bertakhta di atas singgahsananya yang sebenar nanti. Cuma usaha ke arah itu menjadi tanggungjawab kita bersama. Hijrah untuk kita juga berkaitan dengan sikap dan amalan diri kita sendiri yang mana adakah kita sudah mampu merubah diri dari peralihan masa ini atau pun memang kita terus berpuas hati dengan segala apa yang ada tanpa ada di sana niat dan usaha ke arah melakukan reformasi pada diri sendiri ke arah yang lebih baik dari hari semalam.
Tidak runsingkah kita bila memikirkan bahawa dengan berlalunya 1429 hijrah dan tibanya tahun 1430 hijrah ini maka dengan sendiri bertambahnya umur kita. Tidak risaukah kita jika umur kita bertambah seiring dengan bergandanya dosa kita dan pahala kita pula terus berada di takuk lama.
Semoga kedatangan tahun baru hijrah ini kita mampu menyambutnya dengan pelbagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan juga mampu merubah diri ke arah yang lebih baik.
Banyakkanlah bertaubat kepada Allah di atas segala dosa yang lalu. Tidakkah kita merasa hina dan kerdil bila mengingatkan bagaimana Rasulullah S.A.W sendiri yang telah terjamin akan masuk syurga dan juga terhindar daripada sebarang dosa sentiasa bertaubat kepada Allah sedangkan kita yang tidak lepas daripada terpalit dengan najis dosa terus hidup dengan gelomang dosa itu tanpa bertaubat kepada Allah. Adakah kita merasakan tidak ada masa untuk bertaubat sedangkan masa untuk membuat maksiat begitu banyak atau pun merasakan dosa yang dilakukan itu kecil sangat dan tidak payah bertaubat.
Ingatlah kita bahawa dosa yang kecil turut akan ditayangkan oleh Allah di padang Mahsyar nanti dan ia turut menjadi saham ke arah menjerumuskan kita ke lembah neraka yang panas membakar. Gunakanlahh segala peluang yang ada dengan berdoa, bertaubat, solat sunat taubat, beristighfar, berpuasa sunat dan sebagainya.
Di sini tidak lupa dicoretkan beberapa hadis yang menggalakkan kita agar berpuasa pada bulan Muharram kerana pada bulan ini ada kelebihannya yang tersendiri. Semoga hadis ini mampu membangkit semangat serta mampu menyuntik motivasi diri ke arah yang terbaik.

Daripada Abu Hurairah dalam hadis marfu’ telah berkata : Telah bertanya : Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan?. Maka jawab nabi S.A.W : Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan iailah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah Muharram.
(Diriwayatkan oleh imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasai’e dan Ibnu Majah)

Daripada Nukman bin Saad daripada Ali telah berkata : Telah bertanya kepadanya seorang lelaki , maka katanya apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Maka jawabnya : Aku tidak pernah mendengar seseorang bertanya mengenai perkara ini melainkan seorang lelaki yang aku telah dengar bagaimana dia bertanya kepada Rasululullah S.A.W sedangkan aku duduk disampingnya. Maka katanya : Wahai Rasulullah! apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Jawab nabi S.A.W yang bermaksud : Sekiranya engkau berpuasa selepas bulan Ramadhan maka berpuasalah bulan Muharram maka sesungguhnya ia merupakan bulan Allah padanya hari Allah telah mengampunkan dosa padanya atas kaum dan akan mengampun padanya atas kaum.
(Hadis hasan gharib diriwayatkan oleh imam Tarmizi)

Hadis tersebut memberitahu kita mengenai kelebihan berpuasa dan juga kelebihan bulan Muharram itu sendiri sebagai bulan Allah yang mana dia telah mengampunkan dosa orang yang lalu dan akan mengampunkan dosa mereka yang masih hidup sekarang yang bertaubat kepadaNya.Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang bertaubat itu.

Bibiografi
1. Al-Minhaj Syarah Sohih Muslim oleh imam Nawawi, semakan Syeikh Khalil Ma’mun Syiha, Darul Makrifah, Beirut.
2. Tuhfah al-Ahwazi bi Syarhi Jami’ at-Tarmizi, Mubarakfuri, Darul Kutub Ilmiah, Beirut.
3. Sunan Abu Daud