Monday, September 24, 2012

Motivasi: Jangan PerTUHANkan Kelemahan.

“Memang, kita orang melayu ni memang susah nak cemerlang dalam peperiksaan.”




“Orang Islam memang macam itu, kalau buat bisnes mesti tak laku.”



“Illuminati dan Freemason tu perancangan diorang kemas sangat, kita buatlah apa pun, mereka akan tewaskan kita punya.”



Ayat-ayat tersebut adalah ayat-ayat yang mempertuhankan kelemahan. Kita tahu kita ada kelemahan, kita ada kekurangan, kemudian kita sibuk mengangkat kelemahan-kelemahan kita menjadi alasan agar kita tidak pergi lebih jauh.



“Aku memang tak ada harapan. Kalau nak buat baik aja, mesti gagal.”



Atau sebagai alasan agar kita tidak melaksanakan perubahan ke arah kebaikan. Kerana kelemahan kita yang asyik terjatuh, kita terus hentikan segala usaha.



Hakikatnya, kita tidak boleh sedemikian rupa.





Halangan Agar Tidak Melakukan Apa-apa.



Alasan bahawa kita punya kelemahan hakikatnya bukanlah alasan yang valid.



Manusia semuanya mempunyai kekurangan. Kelemahan. Kecacatan. Yang sempurna itu hanyalah Allah SWT. Yang Maha Perkasa, Maha Besar, Maha Bijaksana, hanyalah Allah SWT.



Manusia memang akan ada kekurangannya. Namun itu bukan alasan yang perlu diperbesar-besarkan untuk tidak berusaha mencapai sesuatu yang lebih tinggi.



Kita tahu kita lemah, maka kita pertamanya perlu mengenal pasti apakah benar ianya merupakan satu kelemahan? Atau sebenarnya sekadar mainan pemikiran kita?



Kemudian, apabila sudah mengenal pasti itu adalah sebuah kelemahan, kita patut berfikir bagaimana hendak mengatasinya? Apakah langkah-langkahnya?



Seterusnya pada masa yang sama, kita perlu nilai di dalam diri kita dan bertanya, apakah pula kekuatan yang kita ada? Senaraikan dan kemudian fikir bagaimana hendak menggunakan kekuatan-kekuatan tersebut.



Perancangan dan cara berfikir sebeginilah yang akan menghasilkan kekuatan untuk mengatasi kelemahan yang ada pada kita. Bukannya membesar-besarkan kelemahan, yang kemudiannya menjadi alasan untuk tidak melakukan apa-apa.







Keyakinan Mengatasi Kelemahan.



Di dalam kehidupan ini, ada satu perkara yang mampu menggandakan kekuatan yang ada sehingga mengatasi kelemahan yang wujud.



Itulah dia keyakinan.



Namun untuk kita orang-orang Islam yang punya keimanan, keimanan pula mampu menggandakan kekuatan yang diberikan oleh keyakinan.



Keimanan bahawa Allah akan bersamanya, keimanan bahawa Allah akan membantunya. Keimanan bahawa Allah akan menilainya, keimanan bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat itu kampung halamannya, keimanan bahawa segala yang ditentukan Allah SWT adalah baik, keimanan bahawa Allah SWT mengarahkan hamba-hambaNya untuk berusaha dan pelbagai lagi yang tersurat di dalam didikan menjadi seorang Muslim Mukmin.



Ini semua memberikan keyakinan agar kita mengatasi kelemahan diri.



Kerana itu, memperkasakan keimanan adalah perkara yang wajib buat kita. Kefahaman yang jelas terhadap keimanan kita kepada Allah SWT, kepada para malaikat, kepada para Rasul, kepada kitab-kitab samawi, kepada qada’ qadar dan kepada Hari Akhirat adalah amat penting. Kerana keimanan terhadap semua ini akan mampu memberikan kita kekuatan yang nyata.



Saya akan mengungkit beberapa peristiwa sejarah yang dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai pengajaran buat kita pada subtopik yang seterusnya.







Sejarah Yang Lemah Mendapat Kemenangan.







“Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar. Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir. Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini, akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.” Surah Al-Baqarah ayat 249-251.



Ya. Mereka dalam kelemahan. Bilangan mereka sedikit. Apabila melihat tentera Jalut, mereka ketakutan. Namun keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT mengatasi ketakutan itu, lantas mereka menggempur dengan penuh berstrategi dan mendapat kemenangan yang dianugerahkan oleh Ilahi.



Perkara yang sama berlaku saat Khalid Al-Walid memimpin tenteranya menentang tentera musuh yang besar bilangannya. Wujud askarnya yang bersuara: “Ramai sungguh bilangan mereka.” Tetapi Khalid Al-Walid menjawab: “Sedikitnya bilangan mereka kala mereka ditewaskan.”



Dan kemudian mereka menggempur dan mencapai kemenangan.



Di manakah resepinya keyakinan Khalid Al-Walid? Keimanan kepada Allah SWT.



Itulah yang berlaku kepada Tentera Badar yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Mereka hanya sekitar 300 orang sahaja, manakala tentera musuh adalah 1,000 orang. Tetapi tidak pula mereka memperbesar-besarkan isu kecilnya bilangan mereka. Bahkan mereka bersemangat berjuang kerana yakinnya mereka kepada Allah, di samping strategi yang mereka usahakan. Dan kemenangan menjadi milik mereka.



Begitulah juga dalam peristiwa perubahan diri. Rasulullah SAW pernah menceritakan perihal pembunuh 100 orang yang ingin bertaubat. Kita lihat di dalam hadith itu, dia telah membunuh 100 orang, namun dia tidak menjadikan maksiatnya sebagai alasan bahawa dia tidak mahu bertaubat. Bahkan dia mengembara mencari orang alim yang boleh mengajarnya untuk bertaubat. Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim.



Ya. Sedikit pun kelemahan tidak menjadi alasan. Tidak diperbesar-besarkan.



Jika ada kelemahan, cari jalan mengatasinya.



Bukan mempertuhankannya.







Penutup: Maka Usah Dijadikan Kelemahan Sebagai Alasan.



Maka berhentilah menjadikan kelemahan sebagai alasan. Kelemahan memang akan ada. Kekurangan memang akan wujud. Tetapi itu bukan alasan untuk tidak berbuat apa-apa.



Mungkin kita memang tak pandai dalam pengajian. Tetapi itu bukan alasan untuk menjadi budak nakal. Mungkin kita memang tidak pandai berbicara, tetapi itu bukan alasan untuk tidak menyebarkan Islam. Mungkin kita memang tidak pandai berniaga, tetapi itu bukan alasan untuk tidak memberikan sumbangan kepada perjuangan Islam.



Ada banyak jalan lain. Persoalannya, apakah kita berusaha dan mencari?



Berhentilah mengungkit kelemahan sebagain alasan.



Lihatlah kelemahan, ketahuilah bagaimana hendak mengatasinya. Listkan kekuatan yang ada, dan ketahuilah bagaimana hendak menggunakannya.



Jangan sesekali mempertuhankan kelemahan kita.



No comments: