Bagi yang penumpang bahtera ini pada zaman mutakhir ini, Rasulullah SAW adalah satu persona penting. Kerana baginda adalah pemandu sebenar bahtera ini. Nakhoda utama, yang bergerak untuk menyelamatkan lebih ramai manusia pada zamannya dan selepas kewafatannya.
Justeru, kami penumpang bahtera beriman dengan baginda SAW. Bahkan, kami bukan sekadar mempercayai, tetapi juga menjadikan baginda sebagai qudwah. Itu antara ciri-ciri yang utama bagi penumpang bahtera ini, yang destinasinya adalah keredhaan dan syurgaNya.
Apa yang istimewanya Rasulullah SAW? Mungkin ada yang bertanya.
Baginda, adalah manusia yang teristimewa, dan di dalam kehidupannya, terdapat pelbagai contoh yang menggegarkan jiwa. Siapa yang mengikuti jejak langkah baginda akan selamat, bagi yang berdegil, akan akan mendapat keburukan sebagai penamat.
Gesaan Allah SWT
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” Surah Al-Ahzab ayat 21.
Allah SWT menggesa hamba-hambaNya untuk mencontohi Rasulullah SAW. Allah sendiri jelas menyebut bahawa, orang yang mengharapkan keredhaanNya, itulah orang-orang yang mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan mereka.
Bukan mencontohi yang lain. Bukan dan bukan.
Bahkan, Allah SWT menggesa untuk segala arahan Rasulullah SAW itu dituruti, dan apa yang dilarang oleh baginda juga ditinggalkan.
“Apa yang dibawa kepada kamu oleh Rasul(Rasulullah), ambillah(taatlah). Dan apa yang dilarangnya kepada kamu, tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu amat keras hukumanNya.” Surah Al-Hasyr ayat 7.
Hingga begitu sekali Allah SWT menyuruh hamba-hambaNya mentaati Rasulullah SAW. Nyata, Rasulullah SAW bukan manusia biasa dari kalangan manusia. Baginda adalah manusia termulia, dalam kalngan manusia biasa ini.
Seorang yang tidak akan melakukan apa-apa, tidak akan bersuara, melainkan semuanya adalah daripada Allah SWT.
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Melainkan segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” Surah An-Najm ayat 3-4.
Maka bagi penumpang bahtera yang hendak menuju kepada Allah SWT dan syurgaNya, semestinya Rasulullah SAW adalah yang menjadi contoh. Apatah lagi, baginda adalah nakhoda kepada bahtera ini. Rasulullah. Utusan Allah SWT. Untuk menjadi rahmat, penyelamat, kepada seluruh alam ini.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Ahzab ayat 107.
Ketenangan hidup itu, ada pada apa yang ditunjukkan oleh baginda
Rasulullah SAW bukanlah manusia paling senang di dalam hidup. Bahkan, baginda adalah manusia yang melalui pelbagai cabaran dan mehnah dalam kehidupannya. Rasulullah SAW dilahirkan sebagai anak yatim, dan pada umurnya enam tahun baginda menjadi yatim piatu. Pada umur 8 tahun, baginda kehilangan nendanya yang mencintainya penuh kasih – Abdul Muttalib. Kemudian baginda dibela oleh pakciknya, yang mempunyai ramai anak membuatkan dirinya tidak kaya – Abu Talib.
Lantas Rasulullah SAW ini membesar dengan dididik kesukaran. Diangkat menjadi Rasul pada usia 40 tahun, dan kaum kerabatnya tidak pula menerima ajakan baginda. Bahkan, baginda ditohmah, dikeji, bahkan diseksa dengan dasyat sekali. Tengkuk baginda pernah menjadi tempat melandasnya perut unta yang penuh najis lagi busuk. Tubuh baginda pernah menjadi tempat mendaratnya batu-batu, hingga berdarah seluruh tubuh. Gigi baginda pernah patah di dalam peperangan, dan baginda pernah terjatuh akibat dipukul musuh. Baginda juga tidak lepas dari cubaan membunuh berkali-kali dari musuh yang berbeza-beza.
Baginda, bukanlah malaikat. Itulah yang menjadikan baginda sebagai contoh kita, manusia biasa.
Baginda menunjukkan kepada kita, saat-saat sukar apa yang perlu dilakukan.
Rasulullah SAW, saat sukarnya, baginda tidak mengadu kepada orang ramai. Bahkan, baginda mengadu kepada Allah SWT.
“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kepada siapa Engkau menyerahkan daku? Kepada musuh yang akan menerkam aku ataukah kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keredhaan-Mu. Dalam pada itu afiatMu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya upaya melainkan dengan Engkau.”
Itulah dia doa baginda apabila baginda dilempar batu hingga berdarah-darah seluruh tubuh ketika berdakwah di satu tempat bernama Ta’if. Baginda tidak mencaci yang membaling batu kepadanya, tidak pula merungut kepada Allah yang memberikan tugasan berat ini kepadanya, tidak pula berhenti. Tetapi baginda memohon kekuatan yang lebih, meminta agar dirinya diselamatkan agar menjadi lebih tabah untuk meneruskan perjuangan.
Apabila bapa saudaranya Abu Talib, dan isterinya Khadijah meninggal dunia pada tahun yang sama, yang mana kedua-duanya amat kuat melindungi baginda, telah menyebabkan ramai manusia semakin hebat menyeksa baginda hingga dinamakan tahun itu tahun kesedihan. Pada tahun itu, Allah SWT menurunkan ayat penenang kepada baginda, yang akhirnya menjadi motivasi juga buat kita.
“Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi(berhenti), (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” Surah Adh-Dhuha ayat 1-11.
“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam). Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” Surah Asy-Syarh ayat 1-8.
Walaupun selepas era dakwah di Makkah, yakni era dakwah di Madinah Rasulullah SAW sudah menjadi seorang pemerintah, ujian dan dugaan tetap datang tidak bertepi. Peperangan demi peperangan, urusan dengan Yahudi dan kaum munafik, semuanya datang tidak berhenti.
Namun, baginda tetap masih ada masa untuk isteri dan anak-anaknya. Tetap ada masa memberikan penyampaian dan pengisian kepada para sahabatnya. Tetap ada masa bersenda gurau dengan anak-anak kecil dan melayani orang-orang tua yang ada bersamanya.
Jelas baginda menunjukkan resepi ketenangan di dalam kehidupan ini kepada kita. Walaupun kehidupan baginda penuh dengan ranjau dan halangan, tidak pernah direkodkan bahawa baginda adalah seorang yang tertekan, emosi, hilang kawalan dan seabagainya. Jauh sekali membunuh diri dan melakukan tindakan-tindakan gila yang lainnya.
Resepi ketenangan, yang ada pada baginda adalah – baginda merapat kepada Allah SWT.
Kerana itu, penumpang bahtera ini, menjadikan baginda contoh utama.
Rasulullah SAW dan makna kehidupan
Rasulullah SAW sering mendidik ummatnya agar bersederhana dan tidak pula menjadikan dunia sebagai matlamat. Baginda mendidik agar kehidupan ini bersih dari segala makar yang merosakkan. Baginda mengajak hanya kepada kebaikan, agar kita dapat mencapai makna kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah kekayaan itu dengan kekayaan harta, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa.” Hadith riwayat Muslim dan Bukhari.
“Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada kedua ibu bapa, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberikan harta miliknya tetapi meminta-minta pula kepada yang lain, dan ditegah lagi ke atas kamu tiga perkara iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya(perkara yang tidak penting), dan membazirkan harta.” Hadith riwayat Bukhari.
Makna kehidupan itu ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah dengan melakukan perkara yang diredhai Allah SWT. Segala apa yang diarahkan baginda, adalah arahan daripada Allah SWT. Dan kita sendiri sudah dapat melihat bahawa, tiada apa yang diarahkan oleh Allah SWT itu melainkan hanya mendatangkan kebaikan kepada kita semua.
Kami penumpang bahtera, mustahil menjadikan yang selain ini sebagai contoh ikutan kami.
Sudahlah dunia selamat dan sejahtera, hidup dalam ketenangan dan bahagia, tetapi di akhirat pula dijanjikan syurga yang kesenangannya tiada batas?
Pasti inilah pilihan kami.
Lebih-lebih lagi, Rasulullah SAW ini merindui kami.
Abu ‘Ubaidah Al-Jarrah RA bertanya: “Wahai Rasulullah s.a.w, adakah manusia yang lebih baik dari kami? (sedangkan) Kami Islam bersama-sama kamu dan kami berjihad bersama-sama kamu.” Menjawab Baginda SAW: “Ya (ada) iaitu kaum yang berada selepas dari kamu, mereka beriman denganku, sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” Hadith Riwayat Ahmad dalam musnadnya.
Mustahil kami akan berpaling daripada Rasulullah SAW.
Akhlak baginda yang bersih, hala tuju yang baginda pergi, dan apa yang baginda bawa semuanya adalah kebaikan. Bahkan baginda amat mencintai ummatnya, walaupun yang bukan sezaman dengan baginda.
Maka kami penumpang bahtera akan bergerak untuk memenuhi perjuangan baginda.
Penutup: Hendak pergi kepada Allah, perlu mengikuti Rasulullah
Allah SWT berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Ali-Imran ayat 31.
Maka pastinya kami, yang menaiki bahtera ini untuk menuju kepadaNya, akan mengikuti Rasulullah SAW. Daripada bagindalah kami belajar akan ibadah, kami belajar akan akhlak, kami belajar akan perjuangan yang tidak kenal penat lelah. Daripada baginda kami mengambil kekuatan, untuk meneruskan kehidupan.
Kerana kami yakin bahawa, dengan mengikuti apa yang baginda tinggalkan, kami tidak akan sesat.
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dengannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah dia Al-Quran, dan Sunnahku.” Hadith riwayat Muslim dan Sunan Abu Dawud.
Kredit to langitIlahi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment