Baru-baru ini terjadi satu peristiwa di mana seorang yang dikatakan mempunyai gelaran ‘ustaz’ telah mengisytiharkan bahawa Ustaz Zahazan murtad kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina Rasulullah SAW di sebuah majalah. Pantas sungguh ustaz tersebut mengisytiharkan sesuatu yang sangat berat ke atas saudara seislamnya. Ini sekaligus menimbulkan fitnah, persepsi buruk masyarakat terhadap Ustaz Zahazan dalam keadaan yang pantas. Mula ada suara-suara seperti:
“Ish, tak sangka Ustaz Zahazan macam itu.”
“Hem, Ustaz Zahazan ini sesat rupanya.”
Dan tak kurang juga mereka yang ikut melaknat, mengeji Ustaz Zahazan. Semuanya bermula dengan pengisytiharan ustaz tersebut terhadap artikel yang ditulis oleh Ustaz Zahzan. Mereka ini tanpa merujuk kepada Ustaz Zahazan mengapa ‘menulis sedemikian rupa?’, ‘betul ke enta tulis sedemikian?’ dan pertanyaan-pertanyaan memohon kepastian. Terus sahaja diselar, mengisytiharkan Ustaz Zahazan murtad pada khalayak ramai.
Akhirnya, editor telah membuat permohonan maaf menyatakan wujud ralat pada pihak mereka, yakni pada artikel Ustaz Zahazan, ada perkataan yang tertinggal lantas membuatkan makna artikel itu berubah sama sekali hingga kelihatan seperti menghina Rasulullah SAW.
Atas isu ini, suka saya membawakan perihal ‘menghukum orang’.
Asas pendapat saya adalah – Jangan terlalu pantas menghukum orang.
Pesan Guru Saya, Dr Ala’ Hilat.
Di dalam menjatuhkan sesuatu status ke atas seseorang, saya akan sentiasa teringat kepada pesanan guru Aqidah saya di Yarmouk University, Jordan. Beliau bernama Dr Ala’ Hilat, dan jika diteliti buku-buku tulisan saya seperti LangitIlahi3: Fanzuru, Maka Lihatlah, atau Buku Motivasi Batu-Bata Kehidupan, nama beliau sering saya sebut. Beliau pernah berpesan kepada saya dan rakan-rakan sekelas:
“Jangan mudah kamu mengkafirkan orang. Walaupun kamu nampak dia(rakan seislam kamu) sujud kepada pokok. Tanyalah terlebih dahulu. Jika dia tidak tahu(yakni jahil), maka beritahulah kepada dia bahawa apa yang dia lakukan itu adalah perbuatan orang-orang yang tidak beriman.” Lebih kurang begitu mafhum pesanannya kepada kami.
Ya. Itu di dalam kes orang sujud kepada pokok. Sampai keadaan sedemikian sekalipun, guru saya melarang kami untuk pantas mengkafirkan orang. Menuduh orang. Mengatakan itu ini kepada orang. Tetapi kami diajar untuk mendekati orang itu, bertanya akan permasalahannya, dan mungkin dia melakukan itu atas kejahilannya, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membantunya mengetahui apa kebenaran yang sebenarnya.
Begitulah pesanan guru saya.
Berusaha Untuk Tidak Mengkafirkan.
Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengeluarkan pandangan yang agak radikal di dalam isu hudud, hingga beliau menyebut ‘Hudud adalah rekaan ahli fiqah’. Ramai yang marah dengan statement ini, lantas mengkafirkan Tun. Saya yang ketika itu turut tidak senang dengan statement Tun, tetap beringat dengan pesanan guru saya tadi, lantas tidak menyertai kumpulan yang mengkafirkan beliau, tetapi berusaha memberikan pencerahan hingga terjadi diskusi antara saya dan beliau.
Tidak lama kemudian, Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah datang memenuhi jemputan program di Jordan. Saya mengambil kesempatan bertemu dengan beliau. Walaupun saya tidak mengkafirkan Tun Dr Mahathir, namun saya menyatakan kepada Dr Asri bahawa saya kurang berkenan dengan sikap beberapa orang yang cuba mentafsirkan kata-kata Tun itu dengan tafsiran seakan-akan Tun bukan nak kata Hudud itu rekaan ahli Fiqah.
Dr Asri berkata kepada saya ketika itu:
“Mengkafirkan orang ini berat. Jadi, selagi mana kita boleh tafsirkan kata-kata itu pada sesuatu yang bukan mengkafirkan dia, kita memang wajib tafsirkan. Kita nak ajak lagi ramai orang masuk syurga, maka tak logik kita sibuk nak kafir-kafirkan orang.”
Jadi di situ saya semakin kuat merasakan bahawa, bukanlah sikap seorang da’ie, yakni penyeru di atas jalan Allah SWT, sekiranya kita pantas mengkafirkan orang. Lantas saya teringat dengan kisah Abbas As-Sisy yang menangis melihat kerosakan masyarakat, dan kemudian Hassan Al-Banna berkata kepada Abbas As-Sisy: “Ketika ini barulah engkau mengerti makna dakwah.” Ya, dakwah itu ditolak oleh rasa kasih sayang kita kepada masyarakat, rasa ingin memperbaiki masyarakat. Maka bagaimana kita boleh pantas mengkafir-kafirkan orang?
Ini juga mengingatkan saya akan Sirah Rasulullah SAW akan ketika datangnya seorang lelaki yang ingin dirinya dihukum kerana telah berzina, Rasulullah SAW lantas memalingkan wajah, dan baginda menimbulkan banyak soalan kepada lelaki itu. Seboleh-bolehnya, Rasulullah SAW tidak mahu menjatuhkan hukuman. Justeru, Rasulullah SAW sendiri bukan seorang yang menyegerakan hukuman. Di dalam hadith yang lain, apabila seorang perempuan pergi kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan hukuman kerana dia mengaku dia telah berzina, Rasulullah SAW bahkan memberikan perempuan itu masa untuk melahirkan anak di dalam kandungannya dahulu, kemudian menyusukannya hingga anak itu boleh makan makanan selain susu ibu, dan itupun perempuan itu yang pergi kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan hukumannya, barulah Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Jadi selagi mana kita masih boleh memberikan alasan, boleh kita tafsirkan ayat itu sebagai bukan ayat yang mengkafirkan diri, maka kita perlu melakukannya. Da’ie tidak akan pantas menjatuhkan hukuman, melabel orang dan sebagainya.
Apatah lagi, apabila kita mula mengkafirkan orang, fitnah akan tercetus, dan ramai yang akan mula mengkafirkan orang yang kita kafirkan.
Biarlah tersalah maaf, jangan kita tersalah hukum. Buruk padahnya.
Bila Tercetus Fitnah.
Bukan mudah hidup dengan nama yang buruk. Sebagai contoh, jika kita tidak mencuri, tetapi tiba-tiba dituduh mencuri, masyarakat akan mula memandang kita seakan-akan kita benar-benar pencuri. Kita akan disisihkan, dikeji, dihina. Kemungkinan rakan sekeliling yang baik dengan kita, akan meninggalkan kita. Orang-orang yang percaya kepada kita, akan mula meragui kita. Ini juga akan memberikan impak negatif kepada pelajaran, pekerjaan, sekaligus kehidupan kita.
Dapat kita lihat dalam arena saham, jika ada spekulasi, dan belum tentu pun perkara itu benar, tetapi hanya dengan kewujudan spekulasi, saham boleh jatuh. Kerana pelabur mula meragui dan tidak ingin menceburkan diri memberikan pelaburan.
Apabila kita mula mencetuskan sesuatu label yang buruk kepada seseorang, hakikatnya kita telah mula menghancurkan kehidupan seseorang itu. Pekerjaannya, hubungannya dengan rakan-rakan, dan sekiranya dia mempunyai pengikut yang selama ini menjadikan dia sebagai contoh tauladan, kita telah meletakkan rasa sangsi dan ragu kepada jiwa pengikut-pengikutnya, lantas membantutkan kerja-kerjanya.
Bahkan kita mungkin boleh membawa kepada dia dicederakan, sekiranya ada yang pergi menyerangnya kerana tidak puas hati, atas dasar penyerang itu percaya dengan apa yang kita tuduh terhadap dia.
Ya. Itu semua boleh berlaku. Kerana itu, mencetuskan fitnah adalah dosa yang sangat besar.
Al-Quran dan As-Sunnah Telah Memberikan Petunjuk.
Allah SWT telah mendidik orang-orang yang beriman agar kita memeriksa terlebih dahulu berita yang datang kepada kita. Bukan terus mempercayai. Penyelidikan adalah wajib hakikatnya, agar kita tidak tersalah menjatuhkan hukum kepada orang yang tidak sepatutnya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Surah Al-Hujurat ayat 6.
Jelas-jelas Allah SWT telah memberikan pesanan ini kepada kita. Bahkan dispesifikkan lagi seruan ini khas buat orang-orang yang beriman kepada Allah SWT. Kerana implikasi fitnah adalah besar terhadap kehidupan dan kesatuan kehidupan mukmin.
Kita sendiri amat makruf dengan fitnah yang pernah menimpa ahlu bait Rasulullah SAW, di kala Aisyah RH difitnah curang dengan Safwan ketika pulang dari Peperangan Bani Mustaliq. Hingga wahyu sendiri terhenti, untuk menguji keimanan orang-orang yang beriman ketika itu. Hatta Rasulullah SAW sendiri menjadi resah. Hinggalah Allah SWT sendiri membela Aisyah RH. Jelas, pantas menjatuhkan hukum bukan dari petunjuk Rasul SAW.
Dahulukan Sangka Baik.
Allah SWT telah berfirman:
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” Al-Ahzab ayat 58
Allah SWT berfirman lagi:
“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Hujurat ayat 12.
Jelas sangka buruk, menuduh-nuduh, bukan dari didikan Islam terhadap ummatnya. Justeru, hendaklah kita ada sikap ‘tabayyun’, yakni ingin mendapatkan penjelasan. Pergi bertanya terlebih dahulu, sebelum membuat tuduhan.
Lebih-lebih lagi di era dunia kaya dengan penulisan hari ini. Typo error adalah perkara biasa berlaku. Tertinggal perkataan adalah biasa terjadi. Silap interprestasi atas apa yang dibaca, didengari dan dilihat juga berlambak-lambak. Justeru, mengapa terlalu pantas mengisytiharkan seseorang itu begitu dan begini hanya dengan membaca apa yang tertulis di media?
Justeru mendahulukan sangka baik adalah pertahanan yang baik.
Apatah lagi apabila seseorang itu kita kenal sebagai seorang yang baik selama ini. Kenyataan-kenyataannya sebelum ini tidak pernah menyimpang dari aqidah yang sejahtera, dan tidak pernah pula mengajak kita melakukan perkara-perkara yang mungkar dan mengajak kita menjadi hambaNya yang ingkar. Jadi mengapa mudahnya kita menghukum seseorang yang sedemikian, dari satu perkara yang kita rasakan silap?
Penutup: Jauhilah ‘Pantas Dalam Menghukum’, Jauhilah Orang Yang Pantas Menjatuhkan Hukum.
Saya kekal berpendapat bahawa antara ciri da’ie adalah tidak pantas menghukum. Sokongan saya akan pendapat ini adalah hadith Rasulullah SAW yang mengisahkan bangun seorang lelaki yang tiba-tiba menyatakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, takutlah kamu kepada Allah!” Jelas dia merasakan Rasulullah SAW punya rasa tidak takut kepada Allah, dan itu adalah satu fitnah. Maka Rasulullah SAW pun menjawab: “Bukankah aku(sebagai Rasulullah) adalah orang yang paling takutkan Allah?”
Bila lelaki itu beredar, Khalid Al-Walid bangun dan berkata: “Bolehkah aku memenggal kepalanya?”
“Masakan mungkin, dia masih melaksanakan solat.” Rasulullah SAW menghalang.
Khalid tidak berpuas hati, lantas berkata: “Berapa ramai orang yang mengerjakan solat namun lidahnya tidak bersama dengan hatinya(merujuk kepada orang munafiq).”
Rasulullah SAW lantas menjawab: “Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia, dan mengorek perut mereka.”
Kisah ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ya, itu Rasulullah SAW. Itu qudwah kita. Jadi bagaimana seorang mukmin itu boleh jadi antara cirinya adalah ‘cepat menjatuhkan hukum’?
Didiklah diri kita memeriksa terlebih dahulu. Didik diri kita untuk bertanya kepada yang tertuduh. Kerana itu, di dalam Islam, wujudnya mahkamah, tempat untuk yang tertuduh diberi peluang membela dirinya. Kerana itu, di dalam Islam, sesiapa sahaja yang menuduh seseorang itu berzina, tanpa membawa saksi, disebat 80 kali.
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nur ayat 3-4.
Justeru, tinggalkanlah orang yang pantas dalam menghukum orang lain, mengkafirkan orang, menerekakan orang, menuduh orang telah murtad dan sebagainya. Agar kita tidak terpengaruh dengan mereka.
Mari sama-sama muhasabah diri.
Kadangkala, dalam menuduh orang lain, pantas sahaja kita.
Dalam melihat keadaan diri kita sendiri, kita lambat-lambatkannya.
Kredit to LangitIlahi