Tuesday, October 2, 2012

Kehidupan: Angka-angka Kosong, kitakah itu?

Kebelakangan ini saya sering mengembara ke universiti-universiti di serata Malaysia. Dijemput untuk memberikan talk, ceramah dan tazkirah. Satu soalan wajib saya kepada peserta adalah:

“5 tahun lagi, anda adalah siapa?”

Rata-rata akan menjawab pekerjaan mereka. Engineer. Doktor. Pensyarah dan sebagainya. Ada juga yang menjawab “Masih belajar lagi,” sama ada jawapan itu kerana dia ingin menyambung Masters, ataupun dari diploma meningkat ke Ijazah.

Namun bukan itu jawapan yang saya kehendaki.

Maka saya akan bertanya lagi:

“Siapakah di sini cita-citanya adalah untuk menjadi yang bermanfaat buat Islam?”

Dan sunyi akan sentiasa mengekori.




Sebuah Kitaran Yang Dibiasakan Kepada Kita.

Bayi, membesar, masuk tadika, sekolah rendah, kemudian menaiki ke sekolah menengah, seterusnya menjejakkan kaki ke universiti. Ada dari kalangan kita mungkin tidak mendapat rezeki ini, namun dia akan membesar dididik suasananya sendiri. Seterusnya semua berimpian untuk mendapatkan kerja, dan menjadi pekerja. Ada yang berkahwin semasa belajar, ada yang berkahwin selepas bekerja, ada yang tidak berkahwin. Bagi yang berkahwin, mendapat anak, seterusnya naik pangkat demi pangkat, rumah makin besar, kereta makin banyak, hutang juga makin bertimbun. Anak kita mendapat anak, dan kita bergelar datuk dan nenek, seterusnya mereka pun membesar dan kita pun semakin tua, dan akhirnya mati.

.

.

Mati.

.

Ya. Mati. Itupun jika sempat melalui semuanya. Jika tidak sempat? Semasa usia muda sahaja kita sudah boleh dijemput pergi.

Ramai manusia terperangkap di dalam kitaran ini, dan akhirnya sekadar menjadi ‘manusia biasa’. Dia bekerja menjadi hamba kepada sebuah sistem yang tidak pun memberikan pulangan kepada agamanya. Dia menuruti sahaja segala apa yang telah sistem aturkan, dan dia pun mati sebagaimana sistem hajatkan. Mati sebagai hamba sistem, yang langsung tidak akan memberikan kesan kepada perjalanan sistem.

Maka di manakah makna hidup jika berada dalam kitaran ini?

Sedar tidak sedar, manusia didoktrin untuk mengikuti arus ini. Kerana itu, apabila disoal berkenaan cita-cita, maka apa yang dilihatnya hanyalah ‘kerjaya’. Dia tidak melihat lebih daripada itu, kerana dia telah duduk di dalam sebuah ‘sangkar’ yang menyekat potensi sebenar seorang manusia, sekaligus mematikan kekuatannya untuk menggapai apa yang patut digapainya.



Berapa Ramai Yang Telah Mati Di Dalam Kitaran Ini?

Bilangan ummat Islam telah mencapai billion. Tetapi di manakah ‘kekuatan’ billion itu?

Kita fikirkan semula akan kitaran tadi, dan kita fikirkan semula sekitar hampir 90 tahun selepas kehilangan dawlah Islamiyyah pada tahun 1924, berapa ramai yang telah mati di dalam kitaran tadi? Ya. Secara tidak sedar, kita telah membazirkan ‘nyawa-nyawa kekuatan’ Islam secara tidak sedar. Itu belum dikira mereka yang berjaya melepaskan diri dari kitaran ini, namun diburu, diperangi oleh pemegang sistem hari ini.

Kerana itu, saya tertarik dengan kata-kata seorang ulama’ di eropah yang berbunyi:

“Apakah kamu mengira mereka musuh-musuh Allah itu peduli kamu membaca Al-Quran setiap hari? Tidak. Mereka tidak akan peduli. Mereka hanya peduli apabila kamu mempraktikkan Al-Quran dan mula menganggu perjalanan sistem mereka.”

Maka walaupun bilangan kita billion, tetapi kita tidak hidup untuk menjadi ‘seseorang yang mampu memberikan sumbangan kepada Islam’, akhirnya kita hanya menjadi sebuah angka kosong yang tiada nilainya. Kita menjadi hamba kepada sistem, dan mati di dalamnya. Ibarat buih di lautan, yang langsung tidak menakutkan kita.

Teringat saya akan sabda Rasulullah SAW:

“Akan tiba ketikanya kamu akan dikeronyok oleh musuh-musuh sebagaimana orang-orang yang berebut untuk makan suatu hidangan.” Para Sahabat bertanya: “Apakah ketika itu jumlah kami sedikit, ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak, bahkan jumlah kamu ketika itu ramai sekali tetapi seperti buih-buih ketika air bah…” Hadith Riwayat Abu Dawud.

Ya. Kita ramai hari ini. Tetapi seperti buih di lautan.

Angka-angka yang kosong.



Maka Bagaimana Kami Mahu Menjadi Yang Bermanfaat Buat Islam?

Di sinilah persoalan utamanya. Bagaimana hendak mengeluarkan diri dari ‘kitaran’ ini? Segelintir manusia pernah mempersoalkan saya:

“Habis, kau nak kami buat apa? Tak kerja?”

Bukan. Tetapi jika kamu ingin menjadi doktor, jadilah doktor yang bermanfaat buat Islam. Yang setiap kali orang datang kepada kamu untuk dirawat kesakitannya, kamu turut mampu merawat jiwanya. Tidak cukup dengan itu, kamu akan berusaha mengumpulkan rakan-rakan kamu yang doktor, yang pegawai kesihatan dan seberapa ramai pakar dalam alam medical ini, untuk seterusnya membina beberapa buah hosptal Islamic, yang kala orang masuk ke dalam hospital itu, keluar mereka mendapat sentuhan Islam.

Jika kamu ingin menjadi taukeh restoran, jadilah taukeh restoran yang bermanfaat buat Islam. Yang masakanmu adalah halalan toyyiba(bukan sahaja halal, bahkan terbaik), yang suasana restoranmu adalah syar’ie, menggambarkan akhlak muslim, waiter-waiter menutup aurat dan kemas, restoranmu bersih, servismu sopan, dan pada meja-meja disediakan keratan-keratan muhasabah dan tazkirah untuk tatapan kala pelanggan menunggu makanan. Biar kala manusia keluar dari restoranmu, mereka mendapat sentuhan Islam.

Jika kamu merupakan pelajar bidang komputer, teknologi dan sebagainya, jadilah yang amat bermanfaat buat Ummah. Ummah kini memerlukan apps-apps yang Islamik, game-game yang Islamik, search engine yang Islamik. Yang belajar dalam bidang perfileman, atau yang berbakat menjadi pelakon, ummah kini memerlukan kamu untuk menghasilkan filem-filem dan drama yang Islamik, yang pelakon-pelakonnya bukan sekadar menutup aurat di dalam drama tetapi juga di luarnya, yang bukan sekadar mengamalkan Islam di dalam filem, tetapi juga di luarnya.

Apa-apa sahaja bidang yang kamu ceburi, pastikan ianya bermanfaat buat Islam dan pembangunan ummah. Jika dirasakan tiada sesuatu pun yang boleh disumbangkan melalui kerjaya, maka sumbangkanlah melalui peribadi yang menawan. Jangan hidup sekadar untuk bernafas, bergelak ketawa, bercanda kosong. Tetapi hiduplah dengan menjadi duta-duta Islam di tengah-tengah pejabat dan tempat kerja, di tengah-tengah taman perumahan dan terhadap jiran-jiran.

Pastikan, di dalam hidup anda, paling kurang anda berjaya mengajak seorang dua manusia kembali kepada Allah SWT dan menjadi muslim yang sebenar.

Pastikan anda mendidik keluarga anda, anak-anak anda, untuk menjadi Muslim Mukmin yang bermakna.

Pastikan, anda tidak mati begitu sahaja.



Penutup: Saham Buat Pulang Ke Akhirat Sana.

Apabila diangkat gambar Ka’bah di Facebook, ramai yang LIKE. Tetapi apabila diangkat gambar Hospital, mungkin tiada siapa yang peduli. Kerana ‘ibadah’ pada hari ini disempitkan di pagar-pagar masjid, manakala urusan dan keperluan Ummah tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada ibadah. Sedangkan Hospital adalah keperluan Ummah yang amat penting.

Mentaliti sebegini perlu kita pecahkan. Jangan merasa selesa dengan Ka’bah dan Masjid Nabawi yang tersergam indah di Makkah dan Madinah, kala ummat Islam di tempat-tempat lain, negara-negara Islam yang lain, terkebelakang dari segi kemajuan dan peradaban.

Jangan merasa megah dengan qiyamullail berakaat-rakaat sepanjang malam, sedang pada kala siang kita membiarkan ribuan orang Islam hanyut dibawa kerosakan sistem.

Jangan merasa cukup dengan 30 juzu’ yang dikhatam setiap bulan, jubah dan serban yang dipakai, juga masjid yang berjaya kita ziarahi sehari-hari, sedang ummat Islam terus disembelih sehari-hari.

Allah menciptakan kita sebagai ‘khalifah’, pentadbir. Allah tidak menciptakan kita untuk menjadi ‘rahib’.

Maka bergeraklah. Pecahkan kitaran itu. Menjadilah Muslim Mukmin yang bermakna, yang kehadirannya di atas dunia memberikan impak, yang kewujudannya di atas muka bumi memberikan kebaikan, yang hadirnya dia di dalam kehidupan ini memberikan manfaat kepada masyarakat.

Ini adalah saham akhirat kita. Dunia tempat mengumpul saham itu, dan akhirat nanti tempat mendapatkan labanya.

Kredit to LangitIlahi

No comments: