Dua tiga hari ini kecoh di dalam media berkenaan belanjawan negara. Namun saya bukan ingin membicarakan tentang isu ini secara terperinci kerana saya bukan ahli dalam bidang ini. Walaupun begitu ia tidak bermakna untuk saya tidak terus cakna. Hanya setia menanti penulisan daripada orang berautoriti supaya kita tidak menjadi bagai katak dibawah tempurung.
Suka saya mengajak sama-sama kita meninjau beberapa perkara. Dalam kesibukan parti politik Malaysia membincangkan hal belanjawan negara, ada bajet belanjawan yang mungkin ramai manusia lupa. Sebelum saya mengupas apa yang terbuku di minda, teliti makna belanjawan yang saya rujuk dalam kamus dewan online yang membawa makna anggaran pendapatan dan perbelanjaan dalam suatu jangka waktu.
Tidak akan rugi selama-lamanya
Berdasarkan maksud belanjawan yang telah saya nyatakan, saya ingin kaitkannya dengan urusan perniagaan kerana ia lebih dekat dengan sistem keluar masuk kewangan yang mellibatkan pendapatan dan perbelanjaan. Adapun bukanlah saya ingin menghuraikan sisi bentuk mana-mana jenis perniagaan sesama manusia tetapi ia adalah perniagaan kita dengan Allah.
Allah s.w.t berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (As-saff:10)
Allah s.w.t menawarkan kepada kita suatu jenis perniagaan yang mana ia tidak pernah merugikan manusia dan tidak menguntungkan Allah meski kita terima ataupun tidak. Bahkan manusia itu sendiri memperoleh keuntungan sama ada di dunia mahupun akhirat.
Bagaimana?
1. Beriman kepada Allah
Ketaatan kepada Allah sebagai pencipta sebenarnya adalah fitrah manusia. Selalunya saya akan berikan dalil daripada Al-Quran atau hadis tentang perkara berkaitan agama. Cuma kali ini saya lebih suka membawakan sebuah cerita yang pernah ditulis dalam majalah Readers Digest sebagai tatapan.
Kisah ini berkenaan seorang tentera Jerman yang juga adalah seorang atheis yang tidak pernah kenal dengan mana-mana agama sepanjang hidupnya. Negara Jerman merupakan negara pertama dalam sejarah peperangan yang melakukan strategi menghantar tentera dari udara melalui payung udara. Ketika tiba hari peperangan tersebut, dia merupakan orang pertama yang diarahkan untuk terjun.
Dalam perasaan risau dan takut, dia terjun dari ketinggian yang melebihi 1000 kaki. Ketika terjun, sebelum membuka payung terjunnya, dia tersebut perkataan “Ya Allah” dalam perasaan gundah gulana tersebut secara tidak sengaja. Akhirnya dia berjaya mendarat dengan selamat tetapi dia terdiam selama beberapa minit. Dia bermonolog kepada dirinya “mengapa aku menyebut perkataan itu? Bagaimana aku boleh menyebut sebegitu”. Setelah beberapa tahun, dia telah mempercayai tentang kewujudan tuhan rentetan daripada peristiwa tersebut. Tetapi sayangnya, agama yang dipilihnya ialah Kristian.
Walaupun dia memeluk agama Kristian, tetapi sekurang-kurangnya dia tahu sebenarnya wujudnya tuhan. Bukan kata cukup sekadar itu, sememangnya islam adalah yang terbaik. Cuma, yang penting yang cuba saya sampaikan adalah merasai kewujudan tuhan adalah fitrah seorang insan meski dia masi belum memeluk Islam.
2. Beriman kepada rasul
Percaya dengan perutusan rasul dan apa yang baginda bawa sahaja tidak memadai bahkan perlu lebih lagi dengan berusaha mengikut jejak langkah baginda dan lahirkan rasa cinta. Rasa itu mestilah terbit dari hati dan dibukti dalam amalan sehari-hari. Baru-baru ini, timbul isu menghina nabi. Sebagai muslim yang mahu menjadikan nabi sebagai contoh walau tidak begitu sempurna, saya dan rakan-rakan (LangitIlahi) telah berusaha dengan sedikit ilmu yang ada, kami mempertahankan baginda sekadar kemampuan. Hakikatnya, masih belum memadai oleh itu perjuangan harus diteruskan. Meskipun demikian, rasa cinta kita tidak akan pernah sama rasa cinta para sahabat kepada baginda.
Disebutkan dalam sirah ketika mana islamnya Abu Quhafah, bapa kepada Abu Bakr r.a, beliau menangis. Lalu baginda bertanya: “mengapakah engkau menangis wahai Abu Bakar”. Beliau menjawab: “Jika tangan bapa saudara kamu (Abu Talib) tempat bapa aku sekarang ini (memeluk islam) lebih menggembirakan kamu lebih lagi aku suka.”
Begitulah kecintaan Abu Bakr r.a kepada nabi hingga mendahulukan apa yang nabi suka daripada dirinya. Terdapat banyak lagi kisah yang dirakamkan dalam buku sirah yang menunjukkan kecintaan para sahabat kepada baginda seperti Zaid Ibn Harithah yang melindungi nabi hingga beliau sendiri tercedera ketika peristiwa di Taif, Ali r.a menggantikan tempat tidur baginda ketika hijrah dan banyak lagi.
3. Berjuang membela dan menegakkan agama Allah
Mungkin ada yang tersalah sangka menyebarkan kefahaman Islam kepada manusia terletak pada pundak ustaz-ustaz atau pada bahu NGO-NGO tertentu. Walhal ia adalah tanggungjawab bersama yang perlu digalas oleh semua manusia. Allah berfirman:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”. (Ali-Imran:110)
Melihat ayat ini lebih teliti Allah menggunakan perkataan ‘umat’ yang merujuk kepada suatu kumpulan masyarakat yang terdiri daripadanya sekelompok individu. Sebab itu, bagi saya cita-cita untuk membina sebuah negara Islam adalah dengan membina umatnya terlebih dahulu bukan membina negara serta-merta yang akhirnya hanya akan tinggal nama.
Keluasan pandangan
Berjuang membela agama Allah janganlah disempitkan dengan berjuang menentang musuh berupa manusia semata bahkan melawan godaan nafsu dan syaitan yang merupakan musuh yang nyata. Oleh sebab itu, sebahagian ulama’ membahagikan perjuangan atau berjihad kepada 2 bahagian yang utama seperti yang telah disebutkan.
Dalam pada itu, terdapat perbahasan tentang jihad mana yang lebih utama. Saya suka mengambil pendapat jihad melawan hawa nafsu terlebih dahulu berdasarkan hujah jika kita lihat syariat puasa dan arahan untuk berperang (perang badar) diturunkan pada nabi pada tahun ke dua hijrah. Namun, Allah Maha Bijaksana, Dia mendidik nafsu manusia untuk tunduk dahulu kepada-Nya sebelum musuh tunduk kepada mereka dalam peperangan tersebut di mana berlaku dalam bulan ramadhan selepas pensyariatan.
Asam Garam
Dalam dunia globalisasi kini, untuk manusia terus istiqamah dalam perjuangan ia adalah suatu perkara yang mencabar kerana melawan musuh berupa manusia mungkin setelah sampai seruannya sahaja tetapi melawan hawa nafsu bila-bila masa dan dimana-mana pun jua. Tambahan lagi, dalam perjuangan ini tidak disediakan karpet merah, tidak pula menjanjikan harta yang mewah bahkan mungkin menuntut pula harta dan diri manusia.
Oleh itu dalam pada kita berusaha untuk istiqamah, bina kekuatan dalaman kita dengan hubungan yang kuat bersama Yang Esa di samping mencari faktor-faktor luaran yang boleh mengukuhkan kaki kita seperti sahabat soleh yang setia, menimba pengalaman daripada orang tua-tua dan sebagainya.
Ganjaran
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar”. (As-saff:12)
Maka apa lagi yang manusia perlukan selain daripada pengampunan Allah terhadap hamba ditambah pula dengan ganjaran syurga yang tidak terhitung nikmatnya? Sudah tentu tiada kerana hidup manusia di dunia sementara sebaliknya kejayaan sebenar menanti apabila kita sudah berada di syurga nanti. InsyaAllah.
Kesimpulan
Bajet belanjawan dari sudut perbelanjaan dan dapatan pada asalnya terhad pada jangka waktu tertentu bertepatan dengan usia manusia yang akan meninggal dunia. Namun Allah Maha Pemurah menyediakan kita dapatan(ganjaran) yang kekal selama-lamanya jika kita berusaha menggapainya meskipun kita hanya berbelanja(berjuang) hanya dalam lingkungan usia yang sementara.
Kredit to LangitIlahi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment