Monday, August 13, 2012

Akhir Ramadan-Olimpik amalan

Saban hari media kian rancak menyebarkan berita tentang pahit getir atlet sukan yang bertungkus lumus mengerah tenaga bagi memburu kejayaan bagi acara yang dipertandingkan untuk negara masing-masing di temasya sukan Olimpik London 2012. Ikut resmi pertandingan semakin dekat ke garisan penamat makin gigih pula para atlet memaksimakan kemampuan. Tidak kurang juga penonton yang memberi sorakan bertambah semangat melaungkannya buat para atlet pilihan.

Begitu juga sepatutnya Ramadhan. Kini, nakhoda bulan mulia ini sudah berada di pinggiran yang tidak berapa hari lagi bakal melabuhkan sauh. Namun adakah kita terus meningkatkan amalan kita atau masih pada paras yang sama? Atau semakin berkurangan?

Kelebihan Umat Rasulullah

Umur umat akhir zaman ini lebih pendek jika hendak dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu. Allah maha Adil. Walaupun umur majoriti kita dewasa ini pendek, tetapi dengan sifat rahmat Allah, Allah mengurniakan tawaran-Nya kepada hamba-hamba. Tambahan lagi dalam bulan ramadhan di mana dikurniakan keluasan medium beramal dengan menawarkan malam yang disebut Al-Qadr seperti firman-Nya yang menjelaskan kelebihan malam ini:

“Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr;3)



1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Belum tentu lagi bagi umat ini untuk hidup selama tempoh ini. Namun, inilah kelebihan umat baginda. Ditentukan umur yang pendek, tetapi diganjarkan dengan kelebihan yang pelbagai. Bagaimanapun, ia jadi seakan-akan tiada apa-apa bagi mereka yang tidak berusaha mendapatkannya.

Penurunan Al-Quran

Berdasarkan ayat pertama surah Al-Qadr dikhabarkan kepada kita bahawa Al-Quran itu diturunkan pada malam yang agung itu secara terus. Namun terdapat sedikit perbezaan kerana Al-Quran seperti mana yang kita ketahui turun secara beransur-ansur kepada nabi s.a.w.

Dalam perbahasan ini, sarjana ilmu Al-Quran menukilkan bahawa disebutkan turun secara terus pada satu malam itu adalah penurunan Al-Quran daripada Luh Mahfuz (tempat terkumpul ketentuan Allah) ke Baitul Izzah di langit dunia. Adapun turun beransur-ansur itu adalah pada dada rasulullah s.a.w. agar mudah difahami dan dilaksanakan oleh baginda dan para sahabatnya. Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat” (Ad-Dukhan:3)

Oleh itu, semarakkan juga malam-malam kita dengan bacaan Al-Quran sebagai tanda menyambut ‘kelahiran’ Al-Quran kepada kita.

Penentuan Perjalanan Hidup

Dinamakan malam Al-Qadr juga kerana pada malam yang mulia ini juga segala ketentuan dalam kita menjalani kehidupan akan dicatatkan. Seperti yang disebutkan Allah dalam firman-Nya:

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)” (Al-Qadr:4)

Justeru, adalah lebih baik untuk kita sebagai hamba memohon doa agar Allah menetapkan apa yang terbaik untuk kita jalani baik untuk diri sendiri, mahupun orang lain dan juga agama.

Tercari-cari atau berusaha mencari?

Terlihat seakan sama keduanya. Namun ianya berbeza. Mereka yang tercari-cari biasanya akan cuba sedaya upaya mencari tanda-tanda peristiwa malam Al-Qadr sahaja. Lain pula bagi mereka yang berusaha mencari lazimnya akan fokus beribadah kerana menyedari bahawa pastinya malam tersebut akan dilalui tanpa ragu jika berterusan istiqamah. Oleh itu janganlah kita asyik tercari-cari tanda-tandanya sahaja tetapi usahalah untuk mencari malam tersebut sepanjang malam akhir bulan ramadhan ini. Sebagaimana disebutkan dalam dua hadis daripada Aisyah r.a:

“ carilah Lailatul qadr itu pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. (Muttafaq ‘alaih)

“ carilah lailatul qadr itu pada hari ganjil dari sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan. (HR Bukhari)

Berpandukan kedua hadis diatas, saya cuba terjun ke alam realiti pada tahun ini. Jika kita sedar di Malaysia kita berpuasa sehari lebih lewat berbanding negara-negara di Timur Tengah dan Eropah. Jadi bilangan hari kita terkebelakang sedikit berbanding negara- negara tersebut. Justeru bagaimana penentuan malam yang mulia ini kerana berbeza dari sudut tarikh?

Allah lebih Mengetahui. Sebab itu antara pedoman yang kita peroleh adalah terus berusaha menghidupkan keseluruh akhir ramadhan ini tidak kiralah malam ganjil atau genap nescaya malam yang dijanjikan dengan pelbagai kebaikan ini akan dapat ditemui.

‘Iktikaf + Qiamullail

Malam itu seperti yang dijanjikan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Namun ia langsung tidak bermakna jika tidak memanfaatkannya. Selain daripada bacaan Al-Quran dan berdoa, kita juga disunatkan untuk ber’iktikaf seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar:

“Rasulullah s.a.w selalu beri’tikaf pada sepuluh terakhir ramadhan. (Muttafaq ‘alaih)

‘Iktikaf atau mendampingi masjid ini amat digalakkan kerana Rasulullah sendiri melaksanakannya. Bahkan cara baginda beri’ktikaf disebutkan oleh para sarjana, baginda memasuki masjid pada sepuluh hari sebelum akhir ramadhan dan keluar setelah ramadhan berlalu. Namun salah faham sering berlaku kerana ada yang berpendapat tidak boleh keluar langsung sewaktu masa i’ktikaf. Pandangan ini harus dinilai semula kerana saidina Umar r.a juga keluar dari masjid atas urusan pentadbiran negara. Maka, beri’ktikaf di masjid bukan bermakna mengetepikan langsung urusan dunia tetapi meminimakannya dengan fokus kepada ibadah pada Yang Esa.

Dalam beri’ktikaf pula kita digalakkan untuk berqiamullail (bangun malam) dengan menunaikan solat-solat sunat yang lain seperti tasbih, taubat, hajat dan sebagainya. Adapun kelebihan melakukan solat pada malam hari ini disebutkan dalam hadis baginda:

“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan dan solatlah pada waktu malam ketika umat manusia sedang tidur panjang maka kamu akan masuh syurga dengan aman”. (HR Tirmidzi, hasan sahih)



Perbaiki diri dan ajak orang lain

Dalam kita berusaha untuk mempertingkatkan amal ibadah khusus kita pada saat getir ini, jangan pula kita lupa untuk mengajak orang lain untuk turut serta. Lebih-lebih lagi ahli keluarga dan juga sanak saudara kerana Allah memerintahkan kepada kita untuk kita menjaga dan memelihara ahli keluarga kita daripada melakukan dosa. Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala) (At-Tahrim:6)

Begitu juga dalam ibadah yang ingin dilakukan pada malam-malam akhir ramadhan seperti yang telah Rasulullah buat kepada ahli keluarga baginda. Aisyah r.a ada meriwayatkan hadis perihal perilaku rasulullah:

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “apabila telah memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan menghidupkan malam dan membangunkan keluarganya, baginda bersungguh-sungguh dan menguatkan ikatan sarongnya. (Muttafaq ‘alaih)

Melihat kepada hadis ini selain baginda mengajak ahli keluarganya, tergambar juga kesungguhan baginda dalam melaksanakan ibadah dalam tempoh ini (akhir ramadhan) di mana baginda menguatkan ikatan sarongnya. Dalam menerangkan maksud ini ada ulama’ yang berpendapat bahawa Rasulullah tidak menggauli isterinya dan ada juga berpandangan baginda mengurangkan makanan. Adapun yang penting ia mempotretkan bahawa baginda mengerah keringatnya sehabis mungkin untuk tumpu beribadah kepada-Nya.

Manfaatkan Peluang Bertemu Al-Qadr

Jika kita berkunjung ke rumah sahabat handai yang sudah lama tidak ketemu nescaya kita datang bersama buah tangan atau perkara yang dapat dijadikan ingatan. Begitu juga Al-Qadr yang seperti diketahui datang hanya sekali dalam setahun. Justeru ‘buah tangan’ yang paling sesuai untuk kita sertakan bersama kunjungan pada malam itu disebutkan dalam hadis daripada Aisyah r.a:

“Aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahulah saya sekiranya saya mendapati malam lailatul qadr itu apakah yang harus saya ucapkan di dalamnya? Baginda bersada”: Katakanlah:



اللّهمّ إنّك عفوّ كريم تحبّ العفو فاعف عنّي

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Mulia dan Engkau suka mengampunkan, maka ampunkanlah aku.”

[HR Tirmidzi, hasan sahih]



Merujuk kepada hadis di atas Rasulullah s.a.w menggunakan perkataan عفوّ tetapi tidak menggunakan perkataan غفور. Apakah perbezaan bagi keduanya?

عفوّ: Allah menghapuskan dosa-dosa kita secara serta merta dan memelihara kita daripada melakukan dosa

غفور: Allah hanya menutupi dosa-dosa yang telah dilakukan tetapi tidak mendedahkannya dan tidak pula menghukum atas dosa tersebut dan akan diampunkan pada hari akhirat kelak.

Hadis sandaran atas hujah ini sebagaimana yang disebutkan oleh Abdullah Ibnu Umar dalam hadis Qudsi:

“Sesungguhnya Aku (Allah) merahsiakannya (dosa-dosa) ke atas kamu di dunia dan mengampunkannya pada hari ini (saat memberi kitab amalan)”. (HR Bukhari)

Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa kedua-dua sifat yang mulia ini sebenarnya membawa maksud pengampunan. Bezanya diampun secara langusung atau ditangguhkan keampunan dengan memberi ruang untuk manusia bertaubat. Selain itu, sambungan hadis ini juga menyatakan bahawa Allah tidak mengampunkan orang yang munafiq dan orang yang lari dari medan jihad kecuali dengan sebenar-benar taubat.

Namun dalam menerangkan kepada kita kaedah berdoa di malam Al-Qadr, rasulullah menyebutkan perkataan عفوّ yang memberi isyarat kepada kita bahawa pengampunan Allah senantiasa menanti buat hamba-Nya yang berusaha meminta. Justeru, relevankah malam-malam akhir ramadhan ini dibiar berlalu pergi tanpa ada pengisian walaupun hanya dengan secebis doa?

Wallahualam~

Kredit to LangitIlahi

No comments: