Friday, August 24, 2012

Motivasi : Tips – 8 Motivasi Diri Menyambut Aidil Fitri Penuh Cahaya

Sinar cahaya yang bagaimanakah yang akan menerangi wajah-wajah kita di pagi 1 Syawal? Ramadhan al-Mubarak, akan berlalu dan berakhir. Sudah menjadi sunnatullah setiap yang datang akan pergi. Begitu juga dengan tetamu yang mulia ini akan meninggalkan kita semua. Bagi jiwa-jiwa yang merasai kehebatan, kebarakahan dan keistimewaan Ramadhan akan terasa kesayuan untuk berpisah dengannya.

Ramadhan pergi, Syawal akan menjelma. Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai hubungkait yang rapat. Pada bulan Syawal ini, Allah SWT menghadiahkan suatu kegembiraan dan kemenangan buat ummat Islam melalui satu sambutan kejayaan yang dinamakan Aidil Fitri. “ Eid Mubarak!” Ia adalah hari raya yang akan diraikan oleh semua ummat Islam atas kejayaan perjuangan melawan dan mengekang hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Allah SWT menghalalkan kita berbuka dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut. Justeru, amat-amat tidak beradablah sekiranya kita tidak menyambut hari tersebut dengan kegembiraan, kesyukuran dan keceriaan.

Persoalannya, apakah Aidil Fitri kita nanti berwajah suram atau penuh warna? Bercahaya atau sebaliknya? Maka, Aidil Fitri mesti disambut dalam suasana keimanan dan selari dengan tuntutan syariat. Bahkan, ia tidak sama sekali dengan hari-hari sambutan yang biasa kita sambut seperti Hari Keputeraan, Hari Merdeka dan lain-lain. Ia sangat istimewa kerana ia merupakan kurniaan, anugerah dan pemberian daripada Allah SWT. Aidil Fitri itu mempunyai warna dan cahayanya yang tersendiri. Hari Raya, kita sepatutnya mendapat satu aura dan semangat baru. Motivasi kita tertingkat dan seolah-olah kita sudah menjadi insan yang baru. Ya.

Setelah sebulan berada di medan latihan dan perjuangan – 1 Syawal inilah hasilannya. Kita termotivasi sebagai orang-orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT. Saya kongsikan motivasi kendiri yang harus kita gerakan pada Aidil Fitri agar ianya penuh makna lagi bererti :-
(1) – Zahirkan motivasi kegembiraan dan kemenangan melalui laungan takbir Hari Raya daripada sanubari dan hati dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Kekadang, linangan air mata akan mengalir dengan lafaz-lafaz agung dan mulia. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
(2) – Hubungkan dan eratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan masyarakat melalui amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjung dan maaf bermaafan harus dihidupkan dan dipertahankan. Suasana sebegini, akan menyuburkan roh kasih sayang dan kemesraan sesama kita.
(3) – Bangun pagi hari Raya awal sebelum Subuh. Segarkan diri dengan mandi sunat, solat sunat kesyukuran dan hiasi dengan zikrullah serta solat Subuh secara berjemaah. Sejurus itu, sama-sama bantu membantu ahli keluarga mempersiapkan diri untuk ke masjid menunai solat sunat Aidil Fitri dan mendengar khutbah hari raya.
(4) - Biasakan dan war-warkan ucapan tahniah sesama kita ketika bertentangan mata, bertemu, berjabat tangan atau melalui alatan sebaran teknologi seperti SMS, internet, kad raya dan rangkaian social seperti facebook, twitter dan sebagainya. Ucapan yang terbaik ialah : “ Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua” – seperti yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW.
(5) - Penampilan dan pemakaian kita harus segak dan kemas. Sunnahnya, pakaian baru, bersih, terbaik dan memakai bau-bauan serta harum-haruman yang mewangi. Hari raya adalah hari untuk berhias dan mencantikan diri mengikut panduan dan batasan syariat tanpa berlebih-lebihan.
(6) - Amalkan pemakanan yang berkhasiat, lazat, seimbang dan berkat. Janganlah terlalu ghairah menjamu makanan yang terhidang sehingga kita lupakan aspek-aspek kesihatan badan. Makan makan juga, kesihatan perlu diutamakan! Adab-adab makan kita perhalusi dan sentiasa ingatkan ahli keluarga kita untuk sentiasa memeliharanya di masa sahaja kita berada. (7) - Jika berkemampuan kita adakan majlis kesyukran dan keraian. Kita boleh jemput sanak saudara, kenalan, rakan pejabat dan jiran tetangga untuk hadir ke rumah. Bertukar-tukar berita, kisah dan maklumat disamping mengeratkan ukhuwah pertalian saudara yang sedia terjalin.
(8) - Ketika sibuk menyambut hari raya, jangan kita mengabaikan tuntutan kewajiban kita. Solat lima waktu dipelihara, aurat tidak terdedah kepada bukan mahram, adab-adab muslim disantuni sebaiknya, batasan pergaulan terjaga dan sahsiah muslim menghiasi setiap kehidupan kita. Itulah tanda kita adalah hamba-hamba Allah SWT yang mengerti makna sebuah sambutan kemenangan.

Justeru, sambutan Aidil Fitri bukan semata-mata untuk menzahirkan keseronokan, kegembiraan dan kemenangan tetapi ia adalah bentuk kesyukuran dalam rangka memperolehi keberkatan, keredhaan dan barakah daripada Allah SWT. Inilah “cahaya” sebenar sebuah sambutan bagi diri ini kita. Cahaya keimanan dan ketaqwaan memancar terang benderang dalam kehidupan kita dan memberikan ketenangan kepada kita semua. Semangat sebeginilah yang menjadi asas motivasi kita dalam berhari raya. Terasa payungan rahmat Allah SWT dimana sahaja kita berada tanpa gusar, bimbang dan takut. Kerana apa? Kerana kita menghidupkan sambutan Eid Mubarak ini dengan matlamat dan tujuan yang jelas serta dibimbing oleh garis panduan syariat Islam. Buat semua! Salam Aidil Fitri. “ Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua” BroHamzah, Ummu Mukhlisah & Aliyah Mukhlisah

Credit to LangitIlahi

No comments: