Thursday, August 9, 2012

Motivasi : Tips – 10 Cara Untuk Kekal Proaktif Sepanjang Ramadhan 4 days ago

Ia bukan sekadar hembusan hasrat dan hajat semata-mata, tetapi digerakan melalui tadahan munajat, amalan dan tindakan. Kita mampu untuk lebih proaktif! Salam Ramadhan kepada semua pembaca. Alhamdulillah, begitu pantas masa berlalu dan kita sudah berada di fasa ke dua Ramadhan. Bagaimana “kehidupan” saudara-saudari sepanjang Ramadhan ini?

Letih?
Penat?
Mengantuk?
Kurang semangat?
Atau Semakin bertenaga?
Seronok?
Ceria?
Proaktif?

Kelihatan, ramai yang lama termenung mencari jawapan. Apa pun, mari kita lihat sebenarnya apakah Ramadhan itu sesuatu yang biasa-biasa atau luar biasa kepada kehidupan kita. Ramadhan adalah bulan yang istimewa, bukan sahaja kerana barakah, rahmat dan kedamaian serta kelebihan beramal dalamnya tetapi Ramadhan adalah bulan yang boleh menjadi titik permulaan untuk kita melancarkan satu semangat dan anjakan paradigm yang baru untuk lebih produktif dan proaktif dalam pekerjaan seharian kita.

Biar betul? Ya, betul-betul. Apa jua pekerjaan kita, – sebagai bos, majikan atau pekerja dalam pelbagai sektor swasta atau awam – sebenarnya kita mampu lebih proaktif melebih bulan-bulan yang lain. Begitu juga sekiranya kita adalah pelajar, penuntut ilmu dan mahasiswa. Banyak manfaatnya yang kita peolehi ketika menjalani kehidupan sepanjang Ramadhan ini. Bagaimana ya? Saya kongsikan beberapa cara untuk meningkatkan proaktiviti dan mengekalkannya sepanjang Ramadhan.

(1)- Kita mulakan hari kita seawal pagi sebelum Subuh. Untuk apa? Bertahajud, bersahur, membaca Al-Quran dan solat Subuh berjemaah di masjid atau surau. Jika kita perasan, hal ini lebih mudah kita lakukan di bulan Ramadhan.

(2)- Prestasi kehadiran kita ke pejabat atau ke kelas akan lebih awal kerana semasa itu kita tidak sibuk dengan agenda untuk bersarapan pagi. Terus sahaja punch card atau hadir ke kelas lebih awal daripada biasa.

(3)- Hubungan keharmonian sesama keluarga dan komuniti masyarakat akan lebih subur dan mekar melalui aktiviti kebersamaan. Contohnya, kita akan lebih banyak masa bertemu dan bersama ketika saling bantu-membantu menghidang jamuan untuk bersahur dan berbuka.

(4)- Waktu tengahari ini, suasana sangat tenang, damai dan tenteram. Tiada lagi kesibukan untuk keluar ke pejabat atau kelas untuk mencari juadah makanan tengahari. Masa itu fikiran kita boleh terfokus untuk bertadarus Al-Quran dan solat zohor berjemaah di surau atau masjid.

(5)- Aktiviti kerohanian semasa tengahari akan memberikan suntikan kesegaran kepada kita untuk lebih gigih dan kuat untuk bekerja dan belajar pada sebelah petang. Jika sempat, kita lakukan qailulah (tidur sebentar sebelum zohor) untuk rehatkan badan dan minda.

(6)- Bulan Ramadhan kita akan mengurangkan aktiviti yang mazmumah (tercela) seperti menipu sesama rakan-rakan, mengumpat, mencarut, curi tulang, rasuah dan sebagainya. Bahkan, kita akan berikhtiar untuk banyak amalan-amalan soleh.

(7)- Latihan Ramadhan adalah untuk melatih kita lebih cekap dan punyai daya kepantasan untuk sempurnakan kerja dengan lebih baik, tangkas dan tersusun kerana kebiasaanya waktu pejabat dipendekan dan pulang lebih awal.

(8)- Waktu berbuka adalah waktu yang penuh barakah. Masa ini suasananya sangat jarang diperolehi di bulan-bulan lain. Semua orang berhimpun sesama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan untuk berbuka. Berdoa bersama, bertanya khabar mengeratkan silaturahim dan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih tentunya memberikan kesan tersendiri kepada hubungan keinsanan yang ampuh dan kukuh.

(9)- Ramadhan adalah bulan latihan daya tahan tubuh badan, minda dan perasaan. Kita akan bermujahadah melawan tuntutan nafsu, mengabaikan keletihan, lapar dan dahaga. Bukankah semua ini satu bentu pakej lengkap untuk lebih proaktif di masa hadapan?

(10)- Untuk mencapai semua perkara di atas, kita perlu ada suatu mind setting yang jelas bahawa kerja di bulan Ramadhan akan lebih pantas, cekap, laju, selesa, lancer tanpa banyak gangguan, berdaya maju dan segar. Hal ini telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW dan generasi salafusoleh yang silam. Justeru, bagaimana dengan kita semua? Proaktif atau reaktifkah kita dalam menjalani kehidupan sepanjang Ramadhan kali ini? Soalan ini, yang akan menjawabnya sudah tentu diri kita.

Yang penting, kita kesemua aktiviti ini akan membantu kita untuk meraih keampunan daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Jibrail AS telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut.” ( Hadis Riwayat al-Hakim) Ayuh, sama-sama kita semak. Perjalanan menuju penghujung Ramadhan tinggal separuh lagi. Kita punyai masa untuk perbaiki mutu dan kualiti amalan kita di bulan penuh barakah ini. Jangan lupa akan motto kita untuk Ramadhan kali ini agar ianya tersemat di jiwa dan minda kita semua, iaitu : “ Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buatku!.”

Kredit to LangitIlahi

No comments: