Tuesday, August 14, 2012

Sisters: Menjadi Ibu Generasi – Kita dan masa depan dunia

Pendahuluan

Sesungguhnya sejarah telah banyak membuktikan kejayaan tokoh-tokoh hebat dunia adalah berkat usaha dan kesungguhan para wanita yang menyandang ‘title’ sebagai ibu mereka. Baik dalam sejarah dunia islam, atau dunia barat. Sebut sahaja tokoh-tokoh seperti Sultan Muhammad Al-fateh, pembuka kota Constantinople, Imam Shafie rahimahullah, imam feqah yang hebat, para ibu merekalah yang menjadi individu yang sangat berpengaruh dalam hidup mereka.

Bahkan mantan presiden US, Abraham Lincoln sendiri pernah dengan rendah dirinya berkata kepada orang ramai ketika mereka memuji dan mengucapkan selamat kepadanya, “Janganlah kamu memberikan ucapan selamat dan tahniah kepadaku, tetapi berikanlah ucapan itu kepada yang lebih layak menerimanya, iaitu ibuku.”



Anak-anak adalah masa depan dunia

Akan tiba masanya nanti, anak-anak yang ada di hadapan kita hari ini adalah mereka yang akan menggantikan generasi kita di masa hadapan. Bagaimana kita mencorakkan mereka hari ini mempunyai kesan dan pengaruh yang besar kepada keadaan dunia di masa hadapan.

Kata Dr. Amani Ar-ramadi, penulis buku Pendidikan Cinta untuk Anak,

“anak merupakan pondasi yang paling mendasar bagi terbentuknya sebuah bangunan masyarakat. Apabila kita meletakkannya dalam pondisi yang benar, bangunannya secara utuh akan bisa lurus – kendati bangunan tersebut besar dan mencakar langit.”

Beliau juga mengibaratkan anak-anak yang ada hari ini seperti bibit tumbuhnya suatu pohon generasi yang besar, yang darinya akan tumbuh cabang-cabang dan ranting-rantingnya. Oleh itu tidak cukup untuk kita sekadar memerhatikan kesihatan fizikalnya, tetapi semestinya kita memberi perhatian lebih pada kelurusan cara berfikir dan cara pandangannya.



Mengapa kita, wahai wanita?

Allah yang Maha Hebat telah menetapkan hubungan seorang ibu dengan anak kandunganya suatu hubungan yang istimewa. Kita, para ibu bersama dengan si anak itu bukan sahaja setelah dia kita lahirkan, tetapi saat ‘zigot’ itu melekat dalam rahim kita.

Si anak berkongsi dengan kita hampir segala-galanya. Sudahlah lebih sembilan bulan si anak yang ketika itu masih janin berkongsi apa sahaja dengan ibunya; baik makanan, perasaan dan lain-lainnya. Sepanjang tempoh penyusuan juga, si anak tetap terkesan dengan apa sahaja daripada ibunya; percakapannya, detik hatinya, perasaannya, dan pemakanannya. Maka, bayangkanlah betapa dekatnya dan rapatnya hubungan antara si anak dengan ibunya berbanding dengan manusia-manusia lain dalam kehidupannya.

Lantas, saat disedari hadirnya ‘zigot’ kecil itu dalam rahimnya, si ibu mesti mula memikirkan kesan segala tindakannya kepada dirinya sendiri, tetapi kepada si anak yang dikandungnya dan yang bakal disusukannya. Kiranya baik akhlaq dan tindak lakunya saat itu, insya-allah baik jugalah kesannya kepada anaknya. Begitu juga sekiranya buruk akhlaq dan tingkah lakunya sepanjang tempoh mengandung dan menyusu itu, na’uzubillah, tidak dinafikan anak itu berisiko untuk terkesan dengan ibunya.

Ustaz Al-Maududi, seorang ‘ulama yang terkenal pernah mengungkapkan bahawa;

“Sesungguhnya para isteri adalah benteng terakhir yang di dalam benteng itu Islam melindungi akhlak dan peradabannya. Tidak diragui lagi bahawa salah satu manfaat besar dari peraturan islam adalah wanita Muslimah harus berada di belakarng hijab adalah supaya dada yang air susunya diminum seorang bayi muslim tetap suci dan bersinar dengan cahaya Islam. Dengan itu hasilnya akan terbina seorang bayi muslim yang tetap terjaga dari pengaruh kekufuran, kesesatan dan akhlak serta perbuatan yang tidak baik. Kehidupannya yang masih asli dipenuhi suasana Islam yang murni, terjaga dari pengaruh luar.”



Penutup

Sama ada kita mahu atau tidak, kita sedar atau tidak, peranan kita, para ibu amatlah penting terhadap pembinaan sesebuah generasi. Justeru, mari kita segera koreksi diri bagaimana kita memandang perkara ini dalam hidup kita? Apakah persediaan dan persiapan kita untuk menyambut tugas yang telah ditetapkan buat kita ini? Bolehkah kita hanya bersikap sambil lewa terhadap hal ini? Ayuh fikir-fikirkan hai sisters yang dikasihi kerana ALLAH, kerana mahu atau tidak, kita adalah pencorak penting masa depan dunia!

Insya-allah, di artikel seterusnya, saya akan berkongsi pula dengan anda salah satu kunci yang penting sebagai bekalan untuk menjadi ibu generasi. Wallahua’lam.

Kredit to LangitIlahi

No comments: